‘ADUN DAP tak layak berhujah guna hadis’

Mohamad Satim kecewa diarah keluar sidang

Shah Alam, 12 Julai: Ketua pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman yang diarah keluar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam, kesal kerana menerima hukuman itu hanya kerana mahu bertanya kepada ADUN Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim yang cuba mempersendakan Islam.

Katanya, beliau hanya mahu meminta penjelasan kerana kecewa dengan Suee Lim yang sering menggunakan hadis dalam sidang DUN, tetapi tidak dibenarkan serta diarah keluar dan serta dilarang memasuki sidang sehingga tamat persidangan oleh Speaker, Datuk Teng Chang Khim.

Chang Khim ketika membuat keputusan itu, berkata beliau terpaksa mengarahkan Mohamad Satim keluar dewan kerana menghalang Suee Lim meneruskan perbahasan walaupun diperintahkan duduk.

Mengulas lanjut, Mohamad Satim berkata, Suee Lim tidak layak bercakap mengenai hadis kerana beliau bukan orang Islam selain tidak memahami maksud hadis Rasulullah SAW itu sendiri.

“Saya ingin bertanya kenapa beliau bercakap soal Islam sedangkan beliau tidak beriman kepada Islam. Kami orang Islam pun tidak berani berhujah kerana takut terpesong daripada maksud hadis,” katanya.

Mohamad Satim berkata, bukan Islam sepatutnya lebih menghormati sensitiviti orang Islam dengan tidak menyalahgunakan hadis dan al-Quran bagi kepentingan politik.

“Kalau saya menyatakan sesuatu dalam ajaran agama Buddha, Kristian dan sebagainya dan jika ia tidak betul, sudah tentu akan menyinggung perasaan penganut agama itu. Saya juga ingin tanya di mana pemimpin PAS lain yang mendiamkan diri semata-mata menjaga kepentingan politik dan bukannya maruah Islam,” katanya.

Usaha pemberita mendapatkan komen Suee Lim mengenai hadis yang dibaca dan ulama yang dirujuk sebelum membacanya dalam sidang itu bagaimanapun gagal kerana beliau enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, ketika membahaskan Rang Undang-Undang Tambahan 2011, beliau mahu membaca hadis sebagai hujah menyokong perbahasannya tetapi ditegur Mohamad Satim yang mempersoalkan kewajarannya kerana wakil rakyat itu tidak layak berbuat demikian.

Pertengkaran berlaku lima minit dan Suee Lim enggan menyatakan hadis yang ingin dibacanya apabila Mohamad Satim meminta penjelasan, tetapi memaklumkan beliau gemar menggunakan hadis kerana berminat dengan ajaran Islam.

Sementara itu, ADUN Kuang, Abdul Shukur Idrus, digantung daripada menghadiri sidang sehingga Khamis selepas enggan mematuhi arahan melarang menyebut nama Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu ketika membahaskan pembentangan usul tergempar perhimpunan haram.

Arahan dibuat berdasarkan Peraturan Tetap 36(7) Nama Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau nama Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu atau Yang Terutama Gabenor Pulau Pinang dan Melaka tidak boleh digunakan untuk mempengaruhi Dewan.

Abdul Shukur kemudian mempersoalkan tindakan Chang Khim yang dilihat berat sebelah kerana ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad ada menyebut nama Yang di Pertuan Agong ketika membahaskan isu perhimpunan haram tetapi tidak dikenakan tindakan.

Berikutan itu, semua ADUN pembangkang bertindak meninggalkan dewan sebagai tanda protes terhadap keputusan itu.

Abdul Shukur ketika ditemui pemberita menyifatkan kerajaan negeri ego dan lebih gemar mempolitikkan semua isu tanpa mahu berusaha membela nasib rakyat.

“Kerajaan negeri lebih gemar membahaskan isu perhimpunan haram walaupun tahu Sultan sudah menitahkan tidak mahu ia diadakan kerana hanya akan merugikan dan menjejaskan keharmonian. Kenapa benda yang haram dibincangkan dalam dewan yang mulia dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

This entry was posted in Isu Selangor. Bookmark the permalink.

Leave a comment